Translate

CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Saturday, 28 September 2013

Solat Jumaat: Beberapa perkara yang masyarakat kita tidak tahu tentangnya.


Alhamdulillah pada setiap hari Jumaat, kaum muslimin di negara ini akan menghadiri solat Jumaat di masjid. Walau bagaimanapun jumlah kehadiran yang ramai ini gagal dicapai ketika solat fardu biasa secara berjemaah di masjid sedangkan menunaikan solat fardu secara berjemaah juga adalah suatu tuntutan yang sangat besar di sisi agama.

Mengenai solat Jumaat, terdapat beberapa perkara yang masyarakat kita kurang ketahui mengenainya. Antaranya adalah keringanan atau rukhsah untuk kaum lelaki tidak menghadiri solat Jumaat sekiranya hari hujan. Bagi mereka yang masih belum keluar dari rumah, mereka tidak perlu ke masjid dan hanya perlu menunaikan solat zohor di rumah sahaja.

Di dalam Sahih al-Bukhari terdapat sebuah hadis:


قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ لِمُؤَذِّنِهِ فِي يَوْمٍ مَطِيرٍ إِذَا قُلْتَ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ فَلَا تَقُلْ حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ قُلْ صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ فَكَأَنَّ النَّاسَ اسْتَنْكَرُوا قَالَ فَعَلَهُ مَنْ هُوَ خَيْرٌ مِنِّي إِنَّ الْجُمْعَةَ عَزْمَةٌ وَإِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أُحْرِجَكُمْ فَتَمْشُونَ فِي الطِّينِ وَالدَّحَضِ

Ibnu 'Abbas berkata kepada Mu'adzinnya saat hari turun hujan, "Jika kamu sudah mengucapkan 'ASYHADU ANNA MUHAMMADAR RASULULLAH', janganlah kamu sambung dengan HAYYA 'ALASHSHALAAH (Marilah mendirikan shalat) '. Tapi serukanlah, 'SHALLUU FII BUYUUTIKUM (Solatlah di tempat tinggal masing-masing) '." Lalu orang-orang seakan mengingkarinya. Maka Ibnu 'Abbas pun berkata, "Sesungguhnya hal yang demikian ini pernah dilakukan oleh orang yang lebih baik dariku. Sesungguhnya solat Jumaat adalah kewajiban dan aku tidak suka untuk mengeluarkan kalian, sehingga kalian berjalan di tanah yang penuh dengan air dan lumpur."

Bahkan tidak sewajarnya seseorang itu berdegil untuk tetap ke masjid kerana perbuatannya itu boleh dikira sebagai menyelisihi apa yang diperintahkan oleh Nabi SAW. Terdapat juga sebilangan yang berdalih bahawa pada zaman ini sudah adanya payung dan kereta, sesungguhnya alasan sebegini tidak terpakai kerana hujan yang turun itu tetap merupakan suatu kesukaran atau kepayahan meskipun seseorang itu menaiki kereta atau menggunakan payung. 

Banyak lagi persoalan lain yang berkait seperti masalah parking yang lebih sukar dalam keadaan hujan, juga setelah keluar dari kereta menuju ke masjid juga berkemungkinan boleh basah lencun atau mungkin terpijak lumpur dan sebagainya. Oleh itu tidak sewajarnya bagi kaum muslimin untuk mengingkari keringanan yang telah diizinkan oleh syarak ini. Ini sama juga halnya dengan hukum dibolehkan meng'qasar'kan solat ketika musafir. Meskipun zaman sekarang sudah ada kereta dan kapal terbang sebagai pengangkutan, tetapi ia tidak bererti hukum itu dimansuhkan dan orang yang bermusafir tetap dikira sebagai musafir walau dia menaiki apa kenderaan sekalipun.

Seterusnya berkenaan dengan panjangnya khutbah Jumaat. Bahawasanya yang menepati sunnah adalah yang ringkas dan tidak panjang. Ini berdasarkan hadis:

"Nabi SAW tidak mahu lama ketika memberi nasihat pada hari Jumaat. Beliau hanya menyampaikan beberapa nasihat yang singkat dan ringkas."
(Riwayat Abu Dawud di dalam bab 'Mempersingkatkan Waktu Khutbah')

Ammar bin Yasir meriwayatkan bahawa Dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya panjangnya solat dan singkatnya khutbah seseorang itu membuktikan kefahamannya dalam masala agama. Oleh itu panjangkanlah solat dan persingkatkanlah khutbah."
(Riwayat Muslim dan Ahmad)

Adapun jika ditinjau panjang khutbah Jumaat di kebanyakan masjid di negara ini, ianya adalah panjang berjela-jela. Ini menyalahi sunnah bahkan seolah-olah seperti mereka ingin menyatakan bahawa tidak cukup jika khutbah ringkas dan pendek sedangkan hakikatnya mereka sendiri jahil dengan hikmah-hikmah mengapa khutbah itu sepatutnya ringkas. Khutbah yang ringkas itu juga perlulah disertai dengan nasihat-nasihat yang baik dan padat.

Permasalahan yang berikutnya adalah jumlah minimum makmum yang menjadi syarat sahnya solat Jumaat. Rata-rata masyarakat di negara ini mengetahui dan berpegang dengan pendapat mazhab Syafie yang menyatakan jumlah minima makmum sebagai syarat sahnya solat Jumaat adalah sebanyak 40 orang. Akan tetapi sebenarnya hujah ini tidak kuat.

Pengarang ar-Rawdhah an-Naddiyah berkata: "Sebenarnya jika ada dua orang yang mengerjakan solat Jumaat di suatu tempat yang secara kebetulan tidak dijumpai penduduk selain mereka berdua lalu mereka mengerjakan solat Jumaat secara berjemaah, maka dengan begitu mereka sudah melaksanakan ketentuan yang diwajibkan oleh agama. 

Jika salah seorang antara mereka memberikan khutbah sementara yang seorang lagi mendengarkannya, maka dengan demikian mereka sudah mengamalkan sunnah. Bahkan jika khutbah ditinggalkan, juga tidak mengapa, kerana khutbah itu hukumnya hanyalah sunat." [Fiqh Sunnah]

*Nota: Asy-Syaukani rahimahullah antara yang berpendapat bahawa khutbah jumaat itu hukumnya adalah sunat sahaja. Beliau menegaskan: "Pendapat yang benar ialah apa yang dikemukakan oleh al-Hasan al-Basri, Daud az-Zahiri dab al-Juwaini, bahawa hukum khutbah itu adalah sunat."

Asy-Syaukani juga berkata: "Solat Jumaat tidak dapat dikatakan mempunyai ketentuan tersendiri dan berbeza dengan solat-solat yang lain kecuali apabila ada dalil atau keterangan yang menyokongnya. Lagipun tidak ditemui satu dalil pun yang menentukan jumlah tertentu dalam masalah pengikut melebihi dari jumlah yang dua orang makmum tersebut."

Abdul Haq berkata: "Tidak ada hadis pun yang menyebutkan jumlah pengikut tertentu dalam mengerjakan solat Jumaat." Demikian juga as-Sayuthi mengatakan bahawa tidak dijumpai satu hadis pun yang menentukan jumlah pengikut atau jemaah solat Jumaat.

Pendapat yang mengatakan bahawa jumlah minimum jemaah solat Jumaat adalah 40 orang, mereka berpandukan kepada hadis berikut:

Abdurrahman bin Ka'ab menceritakan bahawa apabila ayahnya mendengar seruan azan hari Jumaat, dia mendoakan rahmat untuk As'ad bin Zurarah. Maka aku (Abdurrahman) bertanya kepada ayahku: "Apabila engkau mendengar seruan azan lalu mengapa engkau mendoakan rahmat untuk As'ad bin Zurarah ?"

Jawab ayahku: "Kerana dialah yang pertama kali melakukan solat Jumaat bersama kami di Hazm Annabit, terletak di tanah berbatu Bani Bayadhah, iaitu di Naqi'ul Khadhamat."

Aku bertanya: "Berapa orang (yang hadir) ketika itu ?"
Jawab ayahku: "40 orang."
(Riwayat Abu Dawud. Dinilai hasan oleh ibn Hajar al-Asqalani)

Walau bagaimanapun, hadis di atas tidak boleh dijadikan hujah bagi menetapkan bilangan minimum jemaah kerana hadis tersebut hanya menyatakan jumlah jemaah yang hadir dan tidak pula membatasi jumlah tersebut atau menyebutkan satu-satu hukum itu secara jelas. Contohnya jika hadisnya terkandung perkataan 'wajibnya solat Jumaat itu didirikan oleh sekurangnya 40 orang.'

Imam asy-Syaukani menyatakan di dalam kitabnya Nailul Authar: "Bahawa tidak ada pengertian di dalam hadis di atas untuk mensyaratkan 40 orang, sebab kisah di atas adalah satu kejadian yang terjadi secara kebetulan. Telah ditetapkan dalam ilmu usul bahawa kejadian secara kebetulan tidak boleh dijadikan hujah untuk hal-hal yang bersifat umum."

Asy-Syaukani memaksudkan kebetulan jemaah yang hadir di situ berjumlah 40 orang.

Akhir sekali yang ingin saya kongsikan adalah bahawasanya tidak wajib solat Jumaat bagi orang yang berhutang yang takut akan dipenjarakan atau ditangkap, sedangkan dia memang tidak mampu membayarnya dan tidak wajib Jumaat juga kepada orang yang sedang bersembunyi kerana takut kepada penguasa yang zalim. Dalilnya adalah hadis:


من سمِع النداءَ فلم يُجِبْه فلا صلاةَ له إلا من عُذرٍ . قالوا : يا رسولَ اللهِ وما العُذرُ ؟ قال : خوفٌ أو مرضٌ

"Sesiapa yang mendengar azan solat dan tidak mendatanginya, maka tiada solatnya, kecuali kerana uzur. Para sahabat bertanya: "Apakah uzur itu?" Beliau menjawab: "Diselimuti perasaan takut atau sakit."
(Riwayat Abu Dawud dan An-Nawawi. Sahih.)
Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment