Translate

CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Wednesday, 18 May 2011

Tragedi 13 Mei 1969..Pengajarannya.



PENGAJARAN UNTUK HIDUP


Tragedi 13 Mei 1969 yang telah memakan banyak kurban manusia di kawasan Kampung Baru dan Chow Kit, Kuala Lumpur telah menjadi catatan hitam dalam sejarah Malaysia. Tragedi itu dapat menjadi satu ’batu bersurat pengajaran’ kepda rakyat Melayu yang terdiri dari berbagai-bagai ketgurunan ini.
Kira-kira dua bulan sebelum tragedi itu berlaku, aku telah menghadiri satu perjumpaan yang telah diadakan oleh Parti Progresif Rakyat (PPR) Malaysia (PPP) pada satu malam, di sebuah bangunan dalam Bandar Ipoh. Pada malam itu tidak ada wartawan yang dijemput hadir dan perjumpaan itu tertutup kepada media.
Walaupun aku seorang wartawan, tetapi kerana aku bersahabat dengan beberapa orang tokoh penting dalam parti itu, di antaranya S.P.Seenivasaga (presiden), D.R. Seenivasagam (setiausaha agung) dan anggota-anggota, Shamsuddin Harun, Kong Kok Yat dan P.Patto, maka telah dijemput hadir. Mereka telah meminta aku tidak membocorkan segala sesuatu dalam perjumpaan itu kepada akhbar.
SENTIMEN POLITIK
Pada malam itu beberapa orang anggota PPR yang terdiri dari bukan Melayu, telah berucap dengan penuh sentimen politik dan perkauman. Mereka telah mengungkit perkara-perkara yang sensitif pada orang Melayu, seperti berikut:
• Hak istimewa bangsa Melayu sebagai ketuanan negara ini.
• Kedaulatan Raja-Raja Melayu.
• Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi.
• Agama Islam menjadi agama rasmi negara.
Selain dari itu ada di antara yang berucap itu telah menghina orang Melayu dan mencaci agama Islam. Aku melihat beberapa orang Melayu yang menganggotai parti itu senyum kelat mendengar ucapan rakan-rakan mereka.
Aku yang menjadi tetamu mereka, telah didesak oleh perasaan khuatir sesuatu kemungkinan akan berlaku kemudiannya, kerana bangkitan mereka itu boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu dan akan berlaku kejadian-kejadian yang tidak diingini.
MENENTANG KERAJAAN
Beberapa hari kemudian beberapa orang bukan Melayu dalam parti-parti pembangkang di Kuala Lumpur telah menggunakan perkara yang sensitif seperti diatas sebagai isu- isu menyanggah dan menentang kerajaan.
Pada malam sebelum berlaku 12 Mei 1969, aku berada dalam bandar Ipoh, iaitu setelah menunaikan sembahyang di surau polis Pekan Baru. Satu perarakan yang dianjurkan oleh PPP kerana menyambut kemenangan calon-calon parti itu yang yang telah menang dalam pilihanraya.
Lebih lima ratus orang-orang bukan Melayu telah menaiki lori-lori dan barakdi jalan raya di hadapan kediaman Menteri Besar Perak. Mereka telah melaungkan kata-kata kesat kepada pemimpin kerajaan negeri itu. 
Pada 13 Mei, seorang rakanku di Kuala Lumpur telah menelefon aku dan memberitahu, bahawa dia dan rakan-rakannya akan berjuang habis-habisan kerana orang-orang bukan Melayu telah menghina bangsa Melayu dan mempertikaikan kesucian agama Islam. 
Walaupun tragedi yang telah berlaku di Kuala Lumpur tidak merebak ke Ipoh dan di seluruh negara, tetapi pada umumnya orang-orang Melayu telah memandang sebelah mata kepada orang-orang keturunan lain akibat daripada mereka memainkan isu mengungkit ’bangsa Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam’. 
****
Pada bulan Mei 1973, Raja Perempuan Negeri Pahang – Sultanah -, Raja Hajah Fatimah binti Almarhun Sultan Alang Iskandar Shah – kakak kepada Sultan Idris Shah dan ibunda kepada Sultan Ahmad Shah - , telah tinggal sementara bersama beberapa orang kakitangan Istana Sultan Pahang, di bilik vip Rumah Rehat, di Bukit Kerajaan, Kuala Kangsar.
Raja Perempuan Hajah Fatimah sedang dirundung duka kerana telah bermadu dengan bekas bintang filem terkenal, Maria Menado.
Aku mula berkenalan dengan Raja Perempuan Hajah Fatimah di kediaman Raja Perempuan Kalthum, ibunda kepada Sultan Idris, di Lembah Bukit Chandan. 
RAJA PEREMPUAN
Pada satu petang dalam bulan Mei, pemandu kereta Raja Perempuan Hajah Fatiman, Paka Awang, telah datang menemuiku di sebuah restoran dalam Bandar Kuala Kangsar. Dia meminta aku datang ke Rumah Rehat kerana Baginda hendak berjumpa denganku.
Sebaik-baik sahaja aku tiba di bilik vip Rumah Rehat itu, aku dijamu oleh Baginda dengan kuih muih Melayu dan minuman dari restoran yang telah dihidang oleh pelayan Rumah Rehat itu. Turut serta dalam bilik vip, ialah dua orang adik saudara Baginda, iaitu Raja Rafeah dan dan Raja Intan Suraya. 
Baginda telah meminta aku menolongnya, iaitu menjampi atau berdoa, supaya suaminya, Sultan Pahang sayang kepadanya dan meninggalkan madunya. Seperti kebanyakan wanita-wanita lain, Raja Perempuan tidak sanggup bermadu lagi.
MEMUJI MEREKA
Aku telah berkatakan kepada Baginda, ”....Tuanku, buat apa Tuanku susah hati, ...runsing, Baginda Sultan tetap sayang kepada Tuanku, ...lagi pun Tuanku lebih cantik dari madu Tuanku.”
Aku telah berkata begitu, kerana aku percaya; semua orang perempuan amat suka, kalau memuji mereka cantik atau jelita dan mereka tidak marah kalau mengatakan mereka tidak pandai. Manakala semua lelaki akan rasa bangga kalau dipuji mereka pandai atau bijak dan tidak marah kalau mereka tidak cantik.
Sebaik-baik sahaja Baginda mendengar pujianku itu, Baginda ketawa. Raja Rafeah dan Raja Intan Suraya turut ketawa.
SUSAH HATI
Aku telah meminta satu jar air sejuk daripada Raja Rafeah. Setelah Raja Rafeah mengambil air dan meletakkannya atas meja di hadapanku, aku telah memberitahu kepada Baginda supaya Baginda meminum air jampi itu selama tiga malam, sedikit dari air itu dicampurkan dengan air untuk mandi dan mandi selama tiga pagi berturut-turut.
“...mudah-mudahan Baginda bertambah kasih sayangnya kepada Tuanku, insya Allah Tuanku tidak resah, gelisah dan susah hati lagi,” aku berkata kepada Baginda Raja Hajah Fatimah.
Pada waktu itu tiga wanita bergelar raja itu amat yakin akan kata-kata aku itu dan dengan hati yang ikhlas mereka bergantung harap kepada Allah. Sesungguhnya aku bukanlah seorang bomoh, tetapi aku hanya seorang hamba Allah yang tidak berhenti-henti merayu dan memohon kepada-Nya. Air yang aku telah berikan kepda Raja Perempuan Hajah Fatimah itu setelah aku membaca beristighfar dan memohon kepada Allah, iaitu:
“Istaghafirul Lahal Azzim, al lazi lailaha illa hual Hayyul Qayyum wa atubu ilaih”.
Aku telah berdoa dalam bahasa Arab (tidak bersuara), iaitu doa yang berlainan dari yang dihajatkan oleh Baginda.Iaitu: 
“Ya Allah, dengan iradat dan Qudrat-Mu, Kaujadikanlah hati Raja Fatimah ini, hati perempuan yang sabar, taatkan suaminya, sayangkan suaminya, sayangkan madunya”. 
Aku telah membaca ayat Quran:
” Ya ayuhal lazina amanu isbiru wa sobiru wa rabittu wat taqul-laha la’allakum tuflihun” 
(Hai orang-orang yang beriman, sabarlah dan cukupkanlah kesabaran, dan perteguhkanlah kekuatanmu dan patuhlah kepda Tuhanmu, supaya kamu menjadi beruntung.)

Aku telah mengakhiri bacaan dengan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.:
”Allahumma Solli ala Muhammad”.

Aku telah mengulangi membaca sebanyak tujuh kali. Tiap-tiap kali habis membaca, aku telah hembuskan ke permukaan air dalam jar itu.
PAWANG RAJA
Beberapa hari kemudian aku telah memberitahu kisah aku menajdi bomoh Raja Perempuan Pahang itu kepada Pawang Raja, bapa tiri Sultan Idris Shah, Tengku Adlan bin Tengku Adil. Dia telah ketawa sehingga berbahak-bahak.
“Mana ada raja perempuan, Sultanah, permaisuri dalam dunia ni tak bermadu, Encik Mokhtar...,”katanya.
Beberapa hari kemudian, aku mendapati Raja Perempuan Hajah Fatimah tidak lagi marah-marahakan madunya. Baginda tidak bersedih dan gelisah. Pendeknya Baginda telah berubah menjadi seorang perempuan yang tenang dan sabar.
Pada tahun yang sama juga, iaitu pada hujung bulan Ogos, Bandar Diraja Kuala Kangsar telah ditenggelami banjir besar dari Sungai Perak. Rumahku dan rumah-rumah lain di Kampung Kolam turut tenggelam hampir kebumbung. Semua kertas pelajaranku pada masa aku mengikuti kursus sains politik di bawah Jabatan Presiden Soekarno dan pihak Universiti Indonesia serta gambar Presiden itu telah musnah. Lebih 20 helai kertas tulisan tangan Presiden Soekarno turut musnah. 
Sepanjang masa banjir itu aku sering mengikuti Sultan Idris Shah melawat ke kawasan-kawasan banjir di sepanjang Sungai Perak dari Hulu Perak ke Kuala Perak atau Bagan Datok. Selain dari menaiki motorbot kami telah menaiki helikopter Tentera Udara Malaysia (TUDM) untuk meninjau dari udara akan sekitar kawasan banjir. Kami telah mendarat di beberapa kawasan penempatan mangsa-mangsa banjir.
Setiap kali aku berada bersama Sultan Idris dalam helikopter Nuri, di udara, aku terasa diri aku berada dipinggir kematian. Aku khuatir helikopter itu menjunam ke bumi kerana Baginda suka memetik punat-punat pada bahagian oprasi dan pengendalian enjin helikopter itu. Pilot helikopter itu membiarkan sahaja perbuatan Sultan Idris Shah itu. 
Sultan Idris Shah tidak boleh melihat benda yang berjentera atau elektronik; asal jumpa sahaja benda-benda berjentera atau elektronik Baginda tidak senang hati kalau tidak mencuba, memulas, memetik dan sebagainya. 
Baginda pernah memandu kereta, jentolak, traktor, jentolak, jentera penggilas batu jalan, gokat, motorbot dan kapal laut (kapal kecil). 
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)

No comments:

Post a Comment